Monday, February 8, 2010

SURAT 2

BUDAYA CEMERLANG DAN PRINSIP MERITOKRASI DALAM MENJAYAKAN PROJEK-PROJEK KERAJAAN

Dalam membentuk negara berwawasan, nilai utama gagasan 1Malaysia semestinya mengekalkan prinsip meritokrasi untuk mencapai budaya cemerlang.Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan pelbagai aspek perkhidmatan kerajaan dan masyarakat secara keseluruhannya wajar dibentuk berdasarkan meritokrasi.

Saya terpanggil untuk menulis di ruangan forum Utusan untuk kita sama-sama meneliti sejauhmana pendekatan ini dilaksanakan.Sebagai contoh pemerolehan projek kerajaan sewajarnya dilakukan melalui saingan pembidaan terbuka kerana ia akan memberi peluang untuk semua kontraktor membuat bidaan dengan harga yang terbaik seiring dengan kemampuan syarikat dan meritokrasi yang ada pada mereka dan dalam masa yang sama peluang untuk memilih syarikat terbaik untuk sesuatu tugasan itu lebih telus dan berkesan.

Kita sepatutnya sudah mengikis sikap atau budaya ’pilih bulu’ dalam menganugerahkan sesuatu projek atau kontrak kepada golongan yang kenal ’orang dalam’ atau berasaskan tender perundingan terpilih. Ketidakcekapan berbelanja dan belanja berlebihan yang berlaku pada kebanyakan projek-projek kerajaan seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara beberapa minggu yang lalu membuktikan bahawa selama ini budaya kecemerlangan dan meritokrasi hanyalah satu slogan semata-mata.Kita mungkin sudah pun terlupa kerana ditenggelami oleh masaalah banjir yang melanda beberapa negeri di utara tanahair.

Projek-projek lewat jadual dan kelemahan mutu kerja yang mengakibatkan sebahagian bangunan roboh dan sebagainya jelas kebanyakannya berlaku pada projek tawaran secara reka dan bina di mana pemantauan pihak berwajib tidak mencapai piawaian yang sepatutnya. Faktor pengagihan projek melalui Kementerian masing-masing lebih mendedahkan kepada risiko berlakunya budaya ’pilih bulu’ dan ’kau kenal siapa’ untuk mendapatkan sesuatu projek.

Sebagai negara yang menuju ke arah kemajuan bangsa bagi merealisasikan Wawasan 2020 dan bertepatan dengan konsep 1Malaysia, pemerolehan projek kerajaan atau perlaksanaan sesuatu pembangunan dapat dilakukan dengan mengadakan pertandingan untuk mendapatkan satu hasil yang terbaik. Pertandingan untuk mencari rekabentuk dan senibina untuk sesuatu bangunan kerajaan ataupun bangunan untuk kegunaan awam yang berprestij adalah menjadi satu kebiasaan diadakan di negara-negara maju. Pertandingan sebegini dapat diadakan secara berperingkat merangkumi dua fasa. Fasa pertama merupakan fasa mendapatkan penyertaan pelbagai pihak dan fasa kedua pula adalah fasa saringan bagi kumpulan lima atau tujuh terbaik. Pada Fasa kedua kumpulan-kumpulan tersebut perlulah menghasilkan rekabentuk yang lebih terperinci dan komprehensif untuk memilih pemenang. Kumpulan-kumpulan ini juga berkemungkinan dianggotai oleh juruperunding seperti arkitek,jurutera awam dan struktur, jurutera mekanikal dan elektrik dan jurukur bahan.

Dengan cara yang sebegini kita akan dapat merealisaikan sesuatu projek itu dengan lebih baik dan berkesan kerana ianya berlandaskan pemilihan atas dasar meritokrasi dan diadili oleh pakar-pakar dalam bidang masing-masing. Sepertimana terbukti di negara-negara luar, pertandingan seperti ini juga dapat membuka mata masyarakat awam dan memberi pendedahan media dalam memberi kefahaman dan pengetahuan umum terhadap senibina Malaysia. Gerak kerja sebegini akan lebih melonjak keperihatinan kita terhadap gagasan 1Malaysia berasaskan nilai budaya cemerlang dan meritokrasi serta menepati slogan ’rakyat didahulukan , pencapaian diutamakan’.

No comments:

Post a Comment