Monday, February 8, 2010

SURAT 3

MUSIM BANJIR,HAJI DAN TEKNOLOGI HIJAU
Pada bulan November dan Disember negara kita biasanya akan menghadapi musim banjir.Banjir biasanya melanda negeri-negeri di pantai timur seperti Kelantan ,Terengganu dan Pahang dan tidak ketinggalan juga negeri di utara tanah air iaitu Perlis dan Kedah.Sekiranya musim tengkujuh berlarutan,Johor juga terbabit dengan kejadian banjir ini di beberapa kawasan rendah terutamanya di Kota Tinggi.
Tetapi yang menghairankan ada sesetengah kawasan atau negeri yang dahulunya tidak pernah mengalami banjir kini dilandai oleh banjir.Apakah ini disebabkan faktor perubahan iklim dunia atau akibat kecuaian manusia dalam melaksanakan pembangunan tanpa perancangan yang sempurna? Masaalah penempatan di satu-satu kawasan yang dilanda banjir kebanyakannya berpunca dari sistem peparitan yang kurang sempurna dan bagi kampung tradisional pula disebabkan perubahan rekabentuk rumah itu sendiri yang didirikan dengan gaya moden dengan lantainya di aras tanah.
Rumah tradisi di Kelantan dan Terengganu pada masa lalu dibina bertiang tinggi bagi mengelak dari ditenggelami air ketika banjir.Proses modenisasi telah meminggirkan rekabentuk senibina ini dan digantikan dengan rumah-rumah batu yang berlantai di aras tanah yang secara tidak langsung mendedahkannya pada bahaya banjir apabila tiba musimnya.Kebanyakan kita tidak mahu belajar dari apa yang telah di alami oleh masyarakat dahulu yang telah menyesuaikan rekabentuk rumah ketika itu dengan bencana banjir yang mereka alami.
Banjir juga telah melanda Jeddah,Arab Saudi pada 8 Zulhijjah dan hujan turun dengan lebatnya pada 9 Zulhijjah ketika para jemaah haji berwukuf di Arafah.Banyak kenderaan yang rosak dan nyawa yang terkorban di Jeddah akibat kejadian banjir kilat ini.Ikhtibar mungkin dapat diambil dari kejadian ini agar perancangan yang sempurna dari segi perparitan dan saliran air di tanah suci Mekah dapat dilaksanakan agar tidak berlaku banjir kilat di masa akan datang.Musim haji setiap tahun juga telah membuktikan betapa cekapnya pengurusan Tabung Haji dalam mengendalikan jemaah haji Malaysia dan mendapat pujian dari Kerajaan Arab Saudi.Saya rasa sudah tiba masanya Tabung Haji mengembangkan perkhidmatannya dengan mengadakan kerjasama dengan negara-negara islam yang lain dalam OIC dan juga negara bukan islam seperti China,Filipina,Amerika Syarikat dan lain-lain yang mempunyai ramai umat islam dalam memberi khidmat pengurusan haji.Satu hijrah korporat perlu dilakukan oleh pentadbiran Tabung Haji dalam melihat peluang niaga yang sememangnya menjadi kepakaran mereka bagi menambah nilai pelaburan dan tabungan di samping sektor lain yang sediada seperti perladangan dan perumahan yang kadangkala berisiko kerana kurangnya pengalaman.
Baik di Malaysia mahupun Arab Saudi sekiranya kefahaman terhadap alam persekitaran dapat dipergunakan, maka perlaksanaan teknologi hijau yang sedang hangat diperkatakan di seluruh dunia akan menjadi lebih berjaya.Air hujan dapat ditakung dan disimpan disetiap unit rumah dalam projek-projek perumahan dan bangunan pejabat untuk kegunaan sistem tandas,pengairan senitaman dan juga membasuh kereta .Proses penuaian air hujan ini juga dapat mengelakkan dari berlakunya pembaziran air bersih dalam penggunaan yang tidak perlu dan juga menghalang dari berlakunya banjir kilat sekiranya sistem takungannya terdapat pada setiap bangunan pejabat,sekolah-sekolah dan kawasan perumahan secara teratur dan terancang.Tenaga matahari yang banyak dapat diperolehi di Arab Saudi misalnya dapat menjana kuasa elektrik bagi khemah-khemah moden di Arafah dan Mina dan juga mungkin menjadi tenaga alternatif untuk sistem transit aliran ringan yang akan beroperasi dari Mekah ke Arafah dan Mina sebagai mode pengangkutan terbaru bagi jemaah haji pada musim haji yang akan datang.
Sekiranya kita dapat memahami dan mengambil ikhtibar atas sesuatu bencana yang terjadi itu hanyalah sebagai satu ujian,maka sudah tentulah kita juga akan dapat mengatasinya dengan ilmu dan pengalaman yang diperolehi dari ujian tersebut dalam menghadapi dan mengatasinya pada masa yang akan datang.Musim banjir,haji dan teknologi hijau ini diharapkan dapat memberi sedikit sebanyak kesedaran kepada kita dalam menangani dunia yang semakin mencabar ini.

No comments:

Post a Comment